Friday, May 15, 2009

bila aku rasa bosan...

Dulu-dulu aku pernah berangan nak jadi penulis novel, harini aku dah cuba setapak untuk menapak...Mei2009, tinggal di UiTM sedang yang lain dah pulang ke kampung (viva dah settle..sambilmelompat-lompat~). Hampir hari-hari naik turun library..cari idea menulis...

CHAPTER 1

Tahun 2004…

“Man!” Sara mencubit lembut pinggang teman disebelahnya. Malu bila disakat.
“Betul… Man tak tipu. Sara manis dengan warna coklat ni…” Azman memuji sambil mulut menjuih ke arah tudung coklat yang dikenakan Sara yang dipadankan dengan baju coklat cair pemberiannya.
“Kenapa datang pagi-pagi ni?” Hairan. Selalunya Azman akan menjenguk dia dan nenek pada waktu petang. Cucur pisang goreng kegemaran Sara pasti akan dibawa bersama.
“Kenapa? Tak boleh dah Man datang pagi-pagi ni?” Azman tersenyum memandang wajah Sara yang kemerahan. Malu kerana dipuji ditambah pula dengan pancaran cahaya matahari pagi yang terkena pada wajahnya. Cantik!
“Tak la…tiba-tiba Man datang pagi-pagi ni, nenek pun hairan tau. Tak nak masuk dulu? Nenek ada buatkan cucur.”
“Nenek masak? Kalau Sara yang masakkan, Man nak masuklah.” Azman mula menyakat.
Sara tersenyum. Dari riak wajah temannya itu dia dapat menduga ada berita yang hendak disampaikan Azman kepadanya pagi itu.
Sudah hampir empat tahun dia mengenali Azman, sejak di bangku sekolah menengah lagi. Sejak ayah Azman seorang penjawat tinggi kerajaan berhijrah ke daerah itu. Manakala ibunya seorang pensyarah terpaksa memohon pertukaran ke daerah yang sama. Kesederhanaan serta sifat berterus-terang Azman menarik perhatian Sara.
Mereka akan mengulangkaji pelajaran bersama di pangkin di depan rumah Sara. Terkadang, Zana, Aizat dan teman sekampungnya yang lain turut serta.
Kisah cinta antara dia dan Azman bermula dua tahun dulu apabila Azman tanpa segan silu memberitahu nenek yang dia sukakan Sara.
“Sara…” Azman memulakan bicaranya.
Debaran di hati Sara dapat dirasakan semakin kuat. Bagai gendang dipalu. Seperti ayat yang hendak disusun Azman bakal meragut bahagianya. Sara resah bila terlihat garis kegusaran di wajah itu.
“Ayah Man nak sambung belajar lagi awal tahun depan. Kami terpaksa berpindah. Man juga mungkin akan sambung di universiti sana.” Teragak-agak Azman meneruskan kata.
“Man masih boleh datang sini lagi kan?” Sara meminta harapan. Sedih untuk berpisah.
“Man janji, hubungan ni tak kan putus. Walau jauh mana pun, Sara tetap di hati Man, percayalah.” Azman memberi janji.
“Di mana?” Sara menyoal.
“Kanada”
“Kanada?!” Terbeliak mata Sara. Seperti tidak percaya sejauh itu perpisahan mereka.
“Kita masih boleh utus surat kan. Jangan risau okay?” Azman cuba memancing kembali ceria Sara.


SUDAH setahun berlalu. Selama itu jugalah surat-surat Azman menjadi peneman setia Sara. Menjadi pengganti untuk Sara melepaskan rindu. Cerita-cerita tentang kegembiraan Azman di rantau orang menghiburkan hatinya. Kisah salji yang semakin menebal serta orang-orang di kota Montreal membuatnya memasang angan-angan untuk sampai ke negara Eropah itu suatu hari nanti.
Sehinggalah bulan-bulan berikutnya, Azman semakin jarang berutus surat. Namun, Sara tetap menanti. Mungkin kesibukkan Azman sebagai pelajar di universiti Toronto menghalanginya meluangkan masa buat Sara. Sara akur.
“Kau masih tunggu dia?” Zana menyoal.
“Selagi hayat ni masih ada.” Sara menjawab penuh yakin.
Sayangnya pada Azman tidak pernah luntur. Cintanya tetap segar walau dia tahu, jurang antara mereka jauh bagai langit dengan bumi tetapi Azman selalu meyakinkannya bahawa darah yang mengalir dalam diri mereka tetap sama, tidak ada bezanya.
“Sara…Kau mengharap pada yang tak pasti. Nanti hati kau jugak yang terluka.”
Betul…Dia sendiri akui, Azman sudah melupakannya. Sedang, dia terus mengharap, menanti pada lelaki yang hanya tahu menabur janji.
Hati perempuannya tetap setia pada cinta pertamanya. Namun, sampai bila! Pelbagai rasa bertingkah di dalam jiwanya. Egonya menyeru untuk melupakan Azman.
People comes and go…” Keluh Sara.
Mungkin hamparan hatinya hanyalah sekadar satu persinggahan buat lelaki bernama Azman.